Apa itu Jerawat

Jerawat merupakan sebuah permasalahan yang tidak mendiskriminasi. Sama ada pada lelaki atau wanita, masalah jerawat mampu memberi impak negatif yang besar pada kehidupan.

Secara definisi, jerawat adalah suatu keadaan di mana pori-pori pada kulit tersumbat sehingga menghasilkan kantung-kantung minyak yang telah berpadu dengan kotoran-kotoran dan sel-sel kulit mati. Pori-pori kulit tersumbat itu pada kelazimannya pula adalah akibat hasilan kelenjar minyak yang berlebihan. Pada permulaan, pori-pori tersumbat akan menghasilkan komedo terbuka (blackhead), komedo tertutup (whitehead), dan seborrhoea.

Keadaan persekitaran tersebut akan menyebabkan bakteria tumbuh kemudian berkembang dan membiak. Sekiranya dibiarkan, pori-pori yang tersumbat tersebut akan mula berkembang, membengkak lalu menjadi timbunan nanah.

Apabila kulit telah matang, maka bersiap sedia, kerana timbunan nanah itu akan pecah lalu mengeluarkan cecair nanahnya yang kotor.

Jerawat boleh menjadi satu permasalahan fizikal dan psikologi. Cara pemakanan kita adalah salah satu faktor tumbuhnya jerawat, membuktikan kemungkinan pemakanan yang tidak seimbang dan tidak sihat untuk tubuh badan. Tambahan pula, ia dapat menjejaskan rupa paras. Hal ini juga memberi kesan kepada psikologi, menjadikan sesiapa kurang keyakinan akan penampilan diri serta diselubungi rasa malu untuk berhadapan dengan khalayak ramai.

Menurut Kligmann, seorang pakar kulit yang khusus mengkaji penghasilan dan rawatan untuk jerawat, tidak ada sesiapa di dunia ini yang terlepas tanpa pengalaman mendapat jerawat di kulitnya. Ini bermaksud, bagi sesiapa yang tidak pernah mendapat jerawat dan berfikir dia tidak akan mendapatnya, mereka harus tahu bahawa mereka juga sebenarnya tidak akan terlepas daripada mengalaminya.

Jerawat sering berlaku semenjak usia pra-remaja, berterusan dan memberi kesan kepada hampir sembilan puluh enam peratus remaja, malahan boleh mencecah hingga dewasa.

Bagi kebanyakan orang, jerawat akan mula pudar setelah suatu tempoh berlalu, namun begitu tidak ada ada cara untuk meramal berapa lama masa untuk ia pudar sepenuhnya, dan terdapat kes-kes beberapa individu yang memilikinya secara kekal.

Acapkali pertumbuhan jerawat menyebabkan keradangan pada kulit, dapat dilihat pada kesan kemerah-merahan sekeliling jerawat. Jerawat tidak tumbuh di wajah sahaja, malahan di tangan, dada, punggung, mana-mana kawasan yang berkulit.

Pertumbuhan jerawat boleh bersifat sementara atau kekal bergantung kepada cara seseorang merawatnya. Seelok-eloknya elakkan cara-cara yang kasar untuk memecahkan jerawat kerana ia boleh meninggalkan parut yang kekal. Namun demikian, ada yang teruji apabila jerawat, terutama sekali yang bernanah, menyebabkan rasa gatal yang boleh mengganggu tumpuan dan kehidupan. Ini boleh membawa kepada tekanan dan kemurungan.

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

Previous:

Next: